Home » , » HIBAH - Cara Paling Berkesan Membahagikan Harta

HIBAH - Cara Paling Berkesan Membahagikan Harta

Saya telah berkecimpung di dalam industri perancangan dan pengurusan harta pusaka secara Syariah selama 9 tahun. Sepanjang tempoh ini, saya telah menyampaikan beratus-ratus ceramah dan bertemu dengan beribu-ribu orang Islam di seluruh Malaysia.

Hibah_Wasiyyah_Shoppe

Tetapi apabila saya bertanya  kepada mereka apa yang mereka faham tentang dokumen yang mesti dibuat berkaitan harta pusaka, satu perkataan selalu keluar dari mulut mereka iaitu ‘wasiat’. Saya rasa kita terlalu banyak menonton filem ‘3 ABDUL’ yang seingat saya telah diulang tayang entah berapa ribu kali agaknya  semenjak saya kanak-kanak sehinggalah sekarang. Dalam filem itu, wasiat digunakan sebagai dokumen  untuk membahagikan harta pusaka dan sebab itulah apabila disebut ‘harta pusaka’ orang akan kaitkan dengan ‘wasiat’.

Sekiranya anda juga mempunyai fikiran sebegitu, saya nak memaklumkan anda dengan satu fakta yang mungkin memeranjatkan. Anda silap! Bagi orang Islam, wasiat BUKANLAH dokumen yang paling berkesan untuk membahagikan harta. Jika anda menyediakan wasiat dan didalamnya anda nyatakan mengenai hasrat anda untuk membahagikan harta mengikut formula tertentu, pembahagian itu TIDAK BERKUATKUASA secara automatik kerana ia memerlukan persetujuan semua waris untuk dilaksanakan.

Jadi masyarakat selalu bertanya kepada saya, kalau wasiat untuk pembahagian harta tidak boleh dikuatkuasakan, kenapa pula mereka nak menyediakan wasiat? Jawapan saya biasanya mudah sahaja iaitu, “Kenapa pula nak buat wasiat?”

Saya selalu nasihatkan rakan-rakan usahawan saya, kalau mereka ingin membahagikan harta mereka mengikut formula tertentu kepada orang-orang yang mereka kehendaki baik waris mahupun bukan waris, dokumen yang paling berkesan sebenarnya ialah HIBAH.

Apa itu Hibah? Dari segi bahasanya, Hibah bermaksud ‘Hadiah’. Selagi anda masih hidup dan bernafas, anda bebas untuk memberikan Hibah  kepada sesiapapun mengikut formula yang anda kehendaki. Sekiranya anda berhasrat untuk membahagikan harta, anda patut mempertimbang untuk meyediakan Hibah kerana ia mempunyai beberapa kelebihan seperti :

1. Formula pembahagian yang berkuatkuasa.

Berbeza dengan wasiat yang formula pembahagiannya mesti dipersetujui oleh waris sebelum boleh dilaksanakan, formula pembahagian Hibah berkuatkuasa sepenuhnya mengikut hasrat pemberi hibah di dalam dokumen Hibah tersebut. Sebaik sahaja Mahkamah Syariah memutuskan bahwaa Hibah itu sah mengikut Hukum Syarak , ia tidak boleh dituntut oleh waris yang lain. Jadi kalau anda serius untuk memastikan hasrat ini tercapai, buatlah dokumen Hibah dan bukannya Wasiat.

2. Hibah kepada anak dan cucu boleh ditarik balik.

Ada juga orang yang bercakap dengan saya, tak payah bersusah-payah untuk buat Hibah. Pindahmilik sahaja hartanah yang dikehendaki kepada sesiapa anak-anak yang mereka ingini. Jawapan saya, “Tentu sahaja boleh pindahmilik tapi jangan menyesal kalau anak-anak kita jual hartanah ini dalam keadaan kita masih bernyawa kerana ia telahpun menjadi milik sah mereka.”Bukan sedikit kes yang saya temui di mana  ibubapa yang telah memindah milik rumah mereka kepada anak-anak, dihalau dari rumah selepas itu. Sadis bukan? Tapi itulah hakikat kehidupan.

Di sinilah Hibah mempunyai keistimewaan ketara. Dengan menyediakan Hibah, kita telah menetapkan siapakah yang akan menerima harta ini mengikut formula yang kita mahu tetapi sekiranya pemberian ini dibuat kepada anak dan cucu, kita boleh menarik balik atau mengubah formula pemberian ini  pada bila-bila masa yang kita kehendaki. 

3. Perlaksanaan selepas kematian pemberi hibah.

Walaupun dokumen Hibah disediakan hari ini, namun pindahmilik di dalam geran hanya akan dibuat selepas kematian pemberi hibah. Perlaksanaan menggunakan modul seperti ini menjamin bahawa pemberi hibah masih mempunyai kuasa ke atas hartanah yang dihibah selagi dia masih hidup. Wasiyyah Shoppe telah melaksanakan modul perkhidmatan ini dengan jayanya dan sehingga kini, telah berjaya mendapatkan lebih dari 38 perintah penghakiman dari Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia.

4. Kos penyediaan Hibah yang lebih murah dari pindahmilik.

Sekiranya pindahmilik dibuat dari nama pemberi hibah kepada penerima hibah, duti setem perlu dibayar. Secara umumnya, duti setem ini ialah  1% untuk nilai hartanah RM100,000 yang pertama, 2% untuk nilai hartanah RM400,000 yang kedua dan 3% untuk nilai hartanah yang seterusnya. Seorang ayah atau ibu boleh memilih untuk memindahmilik hartanah mereka kepada anak-anak hari ini, tetapi mereka perlulah membayar kos ini. Oleh kerana hibah tidak memerlukan pindahmilik berlaku, duti setem tidak perlu dibayar dan ini menyebabkan prosedur menyediakan Hibah jauh lebih efektif dari segi kos.


Hibah_rumah

Dengan penerangan ringkas ini, saya harap umat Islam di Malaysia akan memahami dengan jelas fungsi dan keberkesanan Hibah. Kalau anda berhasrat agar harta pusaka anda dibahagikan mengikut formula yang anda kehendaki, buatlah Hibah dan bukannya Wasiat. Jadi sudahkah anda menyediakan dokumen Hibah anda hari ini ?

Sekiranya anda ingin maklumat lanjut berkenaan Hibah, sila hubungi Perunding, En Fir di talian 013 6545 360 atau wasap untuk penerangan lanjut berkenaan hibah dan memudahkan perancangan dan pengurusan harta anda!

Artikel dari Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd