Home » , , » Pengertian wasiat yang sebenar kepada orang Islam

Pengertian wasiat yang sebenar kepada orang Islam

Saya membaca dengan penuh minat komen dan artikel yang diterbitkan oleh banyak akhbar kebelakangan ini mengenai wasiat. Sebagai pemimpin kepada organisasi yang terlibat secara langsung dengan industri pewarisan harta orang-orang Islam di Malaysia yang telahpun mempunyai lebih dari 15,000 orang pelanggan dengan kes-kes terbukti di Mahkamah Syariah, Mahkamah Tinggi Sivil dan Pejabat Pesaka Kecil yang melebihi dari 200 kes semenjak tahun 2004, saya merasakan adalah menjadi tanggungjawab untuk saya menjelaskan isu ini dengan lebih terperinci untuk kefahaman masyarakat Islam di Malaysia secara keseluruhannya.

Apabila kita bercakap mengenai harta pusaka, sebenarnya ada dua aspek penting yang mesti difahami oleh semua orang Islam di Malaysia. Aspek pertama ialah dari segi perancangan harta pusaka. Perancangan di sini bermaksud kita boleh menentukan sendiri siapa yang akan menerima berapa banyak atau jenis harta kita. Contohnya saya sebagai seorang bapa boleh menentukan sendiri siapa yang akan mewarisi rumah saya, siapa yang akan mewarisi akaun pelaburan saya malah saya boleh menentukan sendiri siapakah yang bakal mewarisi harta-harta tertentu saya yang lain  kelak.

Namun jika ini adalah hasrat saya, saya tidak boleh melaksanakan kesemua hasrat itu melalui wasiat semata-mata. Sebaliknya jika saya ingin mewariskan rumah saya kepada anak tertentu, saya perlu menyediakan dokumen  hibah. Jika saya ingin memastikan isteri saya sahaja yang mewarisi wang dalam akaun pelaburan, saya perlu membuat dokumen amanah. Akhirnya jika saya ingin supaya anak angkat saya mewarisi 1/3 dari harta pusaka saya, saya perlu membuat dokumen wasiat. Jadi bagi orang Islam, wasiat bukanlah satu-satunya instrumen perancangan harta yang perlu dibuat.

wasiyyah

Apa pula kesan dokumen wasiat yang di dalamnya tersebut hasrat pewasiat untuk membahagi-bahagikan harta pusakanya kepada waris tertentu seperti contoh rumah diwasiatkan kepada anak sulung, tunai di bank diwasiatkan kepada anak kedua dan seumpamanya. Hukum Syarak telah menjelaskan dengan nyata bahawa hasrat ini hanya boleh berkuatkuasa jika semua waris-waris bersetuju dengan arahan pembahagian ini selepas kematian pewasiat. Jika waris-waris tidak bersetuju, maka permuafakatan mereka ketika itu atau Hukum Faraid akan digunapakai bagi membahagikan harta.

Aspek kedua dalam di dalam isu harta pusaka ialah dari segi pengurusan harta pusaka. Apa yang menjadi masalah di Malaysia hari ini ialah kerana hampir semua wasiat orang Islam yang bersifat ‘ready-made’ (siap dicetak cuma perlu ditandatangani, diletak nombor kad pengenalan dan tarikh sahaja)  adalah bersifat wisoyah atau kandungan di dalamnya hanya menyatakan tentang perlantikan wasi semata-mata. Wasiat yang bersifat begini sebenarnya agak sukar untuk dikuatkuasakan terutamanya bagi orang Islam yang mempunyai harta pusaka bernilai RM 2 juta ke bawah yang pentadbirannya dibuat di Pejabat Pesaka Kecil.

Contohnya, jika saya membuat wasiat melantik isteri saya sebagai wasi kepada harta pusaka dan bila saya meninggal dunia, harta pusaka saya hanya bernilai RM 600,000 dan ia dibicarakan di Pejabat Pesaka Kecil, Pegawai yang membicarakan kes saya tetap akan bertanya kepada waris-waris saya yang berhak mengikut Hukum Faraid sama ada mereka bersetuju atau tidak isteri saya dilantik menjadi wasi seperti yang saya nyatakan dalam wasiat saya. Jika waris-waris saya tidak bersetuju, maka pentadbir harta pusaka yang baru akan dilantik mengikut permuafakatan waris-waris ketika bicara kuasa dijalankan. Oleh itu, wasiat yang saya buat semasa hidup melantik isteri saya sebagai wasi tidak tergunapakai.

Walaupun demikian, jika sebaliknya harta pusaka saya bernilai lebih dari RM 2 juta, wasiat yang melantik wasi ini penting disediakan kerana kes ini akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil dan Hakim memerlukan wasi (executor) dilantik melalui wasiat bagi dikeluarkan Geran Probet.

Oleh itu, boleh dibuat kesimpulan bahawa dari segi perancangan harta pusaka, orang Islam yang perlu membuat wasiat ialah orang yang berhasrat untuk memperuntukkan pada takat maksima 1/3 harta pusaka kepada bukan waris seperti anak angkat, anak saudara, rakan, masjid atau rumah kebajikan bagi tujuan amal jariah.

Orang Islam yang perlu membuat wasiat dari segi pengurusan harta pusaka pula ialah orang Islam yang mempunyai harta pusaka bernilai RM 2 juta ke atas sahaja yang kesnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil dan wasi dilantik bagi tujuan mendapatkan Geran Probet.

Persoalan yang perlu semua orang Islam di Malaysia renungkan ialah jika harta kita bernilai kurang dari RM 2 juta dan kita tiada hasrat untuk memperuntukkan 1/3 dari harta kita bagi tujuan amal jariah atau dalam erti kata lain, kesemua harta pusaka kita mahukan diwarisi oleh pasangan dan anak-anak sahaja, perlukah kita membuat wasiat? Jawapan yang pasti ialah ‘tidak’. Bukan semua orang Islam memerlukan wasiat.

Apa yang menjadi masalah sekarang ialah kerana di atas sebab komersil, banyak pihak secara semborono mengelirukan orang Islam di Malaysia  dengan mengatakan bahawa berwasiat itu hukumnya wajib seperti yang dinyatakan oleh Sural Al-Baqarah ayat 180. Mereka tidak pula menjelaskan bahawa hukum wajib ini telah dinasahkan apabila kemudiannya turun ayat-ayat mawarith Suran An-Nisa’ 11, 12 dan 176 tentang Hukum Faraid. Lebih ironi lagi ialah apabila mereka mempromosikan wasiat menggunakan ayat-ayat Al-Quran tapi sebaliknya bila wasiat itu disediakan, ia adalah wasiat yang kandungannya hanya melantik wasi sahaja.


Sebagai organisasi francaisor berdaftar dan tertakluk di bawah Akta Francais 1998 serta  operasi dipantau sepenuhnya oleh Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, saya menyeru orang Islam di Malaysia berhati-hati apabila ingin membuat wasiat. Pastikan dokumen yang anda buat ialah dokumen yang berkuatkuasa mengikut undang-undang dan lebih penting lagi berurusanlah dengan organisasi yang telah mempunyai trek rekod dan kes-kes terbukti.

Saya mengulangi pandangan bahawa bukan semua orang Islam perlukan wasiat dan membuat wasiat melantik wasi tidak akan menjamin bahawa semua urusan harta pusaka akan selesai dengan sempurna kerana banyak faktor lain yang terlibat.  Jika anda mahu mengagih-agihkan harta anda seperti rumah, akaun pelaburan dan saham syarikat kepada waris-waris tertentu pula, anda sebenarnya memerlukan dokumen hibah dan amanah.

Ariffin Sabirin
Ketua Pegawai Eksekutif

Artikel dari Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd


Tekan butang dibawah untuk berkongsi artikel ini melalui media anda!