Pembahagian Harta Bertindih

Perancangan harta yang tidak disempurnakan dalam masa yang singkat selalunya boleh menyebabkan komplikasi pembahagian harta bertindih. Sebagai contoh, kita lihat situasi dalam sebuah keluarga di mana semua peristiwa ini berlaku dalam tempoh yang singkat dan tiada sebarang perancangan harta dibuat sebelum kematian mana-mana waris.

wasiat_faraid

En Ahmad mempunyai seorang isteri dan 2 orang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Beliau adalah seorang yang berpendidikan tinggi dan isteri beliau adalah dari keluarga yang agak senang dan boleh dikatakan berharta juga. Ketika usia beliau dan isteri diawal 50'an, secara tiba-tiba isteri beliau meninggal dunia. Ibu dan ayah isterinya telah lama meninggal dunia. Enam bulan selepas isterinya meninggal dunia, En Ahmad menikah semula dengan Siti.

Memandangkan anak lelaki sulongnya telah dewasa, Yusri mendirikan rumah tangga tiga bulan selepas ayahnya kahwin untuk kali kedua. Malangnya setahun selepas beliau menikah, Yusri meninggal dunia disebabkan oleh kemalangan jalanraya dan meninggalkan seorang isteri.
Disebabkan satu peristiwa ke peristiwa yang lain berlaku dalam masa yang agak singkat, harta peninggalan arwah isteri pertama tidak sempat beliau selesaikan dan sekarang bertambah pula dengan harta anak sulong beliau pula.

Mari kita lihat pembahagian harta dalam kes ini yang perlu diselesaikan secara Faraid.

A. Harta arwah isteri En Ahmad bernilai RM100,000 (Jumlah keseluruhan).
Beliau meninggalkan waris & pembahagian adalah seperti berikut:
1. Suami - 1/4 bahagian >> 5/20**  [RM25,000]
2. 2 anak lelaki - 3/5 bahagian >> 12/20  [RM60,000 atau RM30,000 seorang]
3. 1 anak perempuan - 3/20 bahagian  [RM15,000]
Nota: harta-harta ini belum diagihkan lagi sehingga kini
**-Jumlah pembawah kiraan pembahagian disama-ratakan

B. Harta arwah Yusri bernilai RM4,000 (Jumlah keseluruhan).
Yusri meninggalkan waris & pembahagian seperti berikut:
1. Isteri Yusri - 1/4 bahagian   [RM1,000]
2. En Ahmad - 3/4 bahagian   [RM3,000]
*1-Disebabkan En Ahmad masih ada (penghadang), tiada bahagian untuk adik-beradik Yusri
*2-Harta arwah ibu Yusri belum diagihkan, oleh itu dalam bahagian RM30,000 perlu diagihkan juga kepada isterinya (sebanyak RM7,500) dan 3/4 bahagian harta arwah ibu Yusri kembali kepada En Ahmad (sebanyak RM22,500).

Biasanya dalam kes sebegini, sekiranya tiada waris yang mengambil berat akan persoalan pengagihan harta menurut hukum Islam, isteri Yusri mungkin tidak akan mendapat haknya.

C. Untuk memanjangkan lagi senario pembahagian harta bertindih ini, katakan En Ahmad pula meninggal dunia beberapa bulan selepas anaknya meninggal dunia. Waris En Ahmad yang tinggal kini hanya seorang anak lelaki, anak perempuan dan isteri kedua beliau. Keadaan biasanya akan lebih rumit bila perhubungan antara isteri baru dan anak-anak beliau kurang baik ataupun kekurangan pengetahuan mengenai ilmu faraid yang akan menyebabkan rasa tidak puashati sesetengah pihak. Harta arwah isteri pertama, harta arwah Yusri dan kini harta En Ahmad pula perlu diselesaikan oleh warisnya.

En Ahmad meninggalkan RM120,000. (Ini jumlah keseluruhan harta atas nama beliau sahaja)
Waris yang layak & pembahagian seperti berikut:
1. Isteri - 1/8 bahagian >> 3/24  [RM15,000]
2. Anak lelaki - 7/12 bahagian >> 14/24  [RM70,000]
3. Anak perempuan - 7/24 bahagian  [RM35,000]

*Baki bahagian dari arwah sebelumnya yang masih belum diagihkan lari (milik Ahmad):
1. Isteri pertama = RM25,000
2. Yusri = RM25,500 [RM3,000(harta Yusri) + RM22,500 (harta isteri pertama - bhg Yusri)]
Jumlah diatas ialah sebanyak RM50,500

RM50,500 ini juga perlu diagihkan mengikut bahagian seperti diatas
1. Isteri - 1/8 bahagian >> 3/24  [RM6,312.50]
2. Anak lelaki - 7/12 bahagian >> 14/24  [RM29,458.33]
3. Anak perempuan - 7/24 bahagian  [RM14,729.17]

Sekiranya semua kes-kes ini diselesaikan serentak untuk mengelakkan ada lagi pembahagian harta bertindih, pembahagian untuk waris Ahmad adalah seperti berikut:
1. Isteri (Siti) - RM15,000 + RM6,312.50 = RM21,312.50
2. Anak lelaki - RM70,000 + RM29,458.33 + RM30,000 = RM129,458.33
3. Anak perempuan - RM35,000 + RM14,729.17 + RM15,000 = RM64,729.17
4. Isteri Yusri - RM1,000 + RM7,500 = RM8,500

Jumlah pembahagian diatas adalah dari harta-harta yang berjumlah besar RM224,000 ( dari ketiga-tiga arwah):
1. Isteri pertama Ahmad = RM100,000
2. Yusri = RM4,000
3. Ahmad = RM120,000

Harta-harta ini adalah dari jumlah harta keseluruhan iaitu termasuk rumah, tanah, wang tunai di bank, ASB, saham dan lain-lain lagi.
 
Dalam kes contoh diatas, kita mengambil situasi ideal di mana waris-waris yang terlibat tidak mengambil yang bukan hak-hak mereka. Tetapi dalam kebanyakan kes yang selalu kita dengar, mungkinkah ini akan berlaku?
  1.  Harta seperti barangan kemas isteri pertama, kemanakah barangan tersebut, siapa yang ambil untuk simpanan seperti kenang-kenangan? Ini juga termasuk dalam kategori harta pusaka yang perlu dimasukkan dalam kiraan harta!
  2. Isteri Yusri, selepas beliau menjadi balu, kemungkinan besar beliau berkahwin semula, dan menantikan penyelesaian pembahagian berlarutan lama, mungkin haknya dilupakan atau dinafikan?
  3. Siti, isteri kedua Ahmad, mungkinkah beliau merasakan beliau layak mewarisi hak yang lebih besar?
  4. Sebagai pewaris lelaki tunggal, adakah anak lelaki Ahmad akan bersikap adil dalam segala hal pembahagian harta ini?
  5. Siapakah yang akan menjadi wasi untuk menyelesaikan semua ini dan berapa lamakah semua waris harus menunggu untuk penyelesaian harta-harta diatas? Perlantikan wasi juga boleh memakan masa yang panjang!
  6. Mungkinkah semua waris yang terlibat mempunyai masa untuk ulang alik ke pejabat dan mendahulukan segala kos pentadbiran yang diperlukan? Tahukah mereka proses-proses pengurusan menuntut harta pusaka?
  7. Siapakah yang bertanggungjawab dengan zakat harta terbeku?

Jadi kita lihat terdapat banyak situasi yang mungkin berlaku sekiranya tiada perancangan awal dibuat. Sekiranya anda prihatin dengan masalah yang mungkin akan timbul, rancanglah untuk memudahkan waris anda. Oleh itu jadilah insan yang mengambil berat akan hal ini dengan melakukan perancangan harta!
Anda boleh hubungi kami untuk mendapatkan khidmat nasihat untuk situasi anda....

Rancanglah untuk menguruskan harta anda untuk mengelakkan komplikasi pembahagian harta bertindih!

Kongsikan artikel ini melalui media anda... pilih butang berkenaan dibawah tulisan ini. 

Siapa bayar zakat harta terbeku?


Persoalan menarik. Dah meninggal pun kena bayar zakat harta lagi?
Mari kita dengar dulu penjelasan dari Ustaz Fauzi.


Rancanglah untuk pengurusan harta anda hari ini!


Pindah Milik Tanah Rancangan Felda

Soalan dari Cik Orkid:
Baru-baru ni saya dapat tau mengenai aktiviti pihak kptg dlm menyedarkan kepentingan pembahagian harta pusaka dikalangan peneroka dan saya sangat bersetuju dengan tindakan berkenaan kerana jika tidak memberi kesedaran ia akan memberi kesan yang sukar pasal masa depan.

Masalah yang saya hadapi ialah mengenai pemohonan pindah milik tanah felda di panching selatan antara tokki saya dengan ibu saya.
Memandangkan tokki saya suda berumur 74 tahun dan kesihatan agak kurang, dia meminta saya untuk menguruskan proses pindah milik ini.

Jawapan dari JKPTG:
Proses pindah milik adalah proses yang lazimnya berlaku di Pejabat tanah. Sekiranya ia tidak melibatkan urus niaga tunai, ia akan mengambil masa yang singkat. Maksud kami adalah pindah milik antara bapa kepada anak atau ibu kepada anak atau suami kepada isteri dan ia juga perlu disertakan dengan duti setem. Berlainan dengan pindah milik antara pemilik asal dan orang luar yang lazimnya memerlukan bukti Sales and Purchase Agreement (S&P) dan biasanya melibatkan penggunaan peguam yang memerlukan pengesahan oleh Pejabat Tanah.

Dalam kes saudari, pindah milik tersebut melibatkan tanah FELDA. Urusan pindahmilik tanah FELDA adalah tertakluk kepada Akta GSA 1960 dan Seksyen 214A Kanun Tanah Negara 1965. Pihak pentadbir tanah tersebut menangguhkan permohonan tersebut kerana pindah milik ini memerlukan kelulusan penuh Pengerusi Lembaga Tanah Estet. Oleh sebab itu, permohonan pindah milik saudari memerlukan masa yang agak panjang. Walaubagaimanapun, sekiranya berjalan lancar dan tiada masalah, pindah milik tersebut akan disegerakan dalam masa yang singkat. Walaubagaimanapun, pemilikan tanah FELDA hanya boleh dibuat kepada dua orang sahaja dan kepada waris-waris yang terdekat.




Nota: Waris-waris peneroka Felda adalah amat digalakkan untuk membuat perancangan/perbincangan awal kerana terdapat banyak kes-kes yang melibatkan harta pusaka yg tidak diselesaikan pada masa ini! Kebanyakan kes adalah disebabkan kegagalan mencapai persetujuan dalam isu pembahagian harta.  

Proses Pembahagian Harta Pusaka Kecil

Mulai 1 September 2009, bidang kuasa untuk menguruskan pembahagian harta pusaka kecil  yang berjumlah kurang RM 2 juta telah dipinda dari jumlah sebelumnya bernilai RM 600,000 (Akta Wasiat 1959). Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) Pindaan 2008 (Akta A1331) dan peraturan-peraturan mula berkuatkuasa mulai 1 September 2009.


Sekiranya simati ada meninggalkan jumlah harta pusaka bernilai tidak melebihi RM 2 juta, permohonan untuk pembahagian harta pusaka boleh dibuat di mana-mana Unit Pembahagian Pusaka / Pejabat Tanah dengan syarat simati mempunyai harta tak alih (tanah) di mukim atau daerah berkenaan.

Secara ringkasnya, proses adalah seperti berikut:

  1. Waris mengemukakan permohonan menggunakan Borang A (boleh didapati dari Pejabat Pusaka) berserta dokumen sokongan kepada Pejabat Tanah (Bahagian Harta Pusaka Kecil) di daerah di mana letaknya tanah.
  2. Permohonan disemak dan didaftarkan.
  3. Permohonan dihantar ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk pengesahan dan ke Pejabat Kadi untuk mendapatkan perintah pembahagian secara Faraid (sijil faraid) mengenai pembahagian harta pusaka simati.
  4. Setelah mendapat pengesahan dari Mahkamah Tinggi bahawa tidak ada permohonan lain dikemukakan bagi pembahagian pusaka simati, di tempat lain, dan setelah diperolehi sijil faraid dari Pejabat Kadi, fail dihantar ke Pejabat Pusaka Kecil bagi tindakan perbicaraan.
  5. Ketua Penolong Pengarah Pusaka Kecil menetapkan tarikh perbicaraan.
  6. Perbicaraan dijalankan di tempat dan tarikh yang ditetapkan.
  7. Sekiranya persetujuan gagal dicapai, perbicaraan ditangguh atau seorang Pentadbir dilantik dari kalangan waris untuk menyelesaikannya.
  8. Ulang bicara dijalankan setelah tercapai persetujuan dikalangan waris-waris. Selagi tiada persetujuan, kes akan tertangguh.
  9. Sekiranya persetujuan dari semua waris dicapai, Perintah mengenai pembahagian pusaka dikeluarkan dan dihantar ke Pejabat Tanah untuk dipinda Hakmilik.
  10. Penolong Pentadbir Tanah Daerah (PPTD) menerima dan menyemak Perintah dan minta pemohon membuat pembayaran.
  11. Pentadbir Tanah Daerah membuat pembahagian mengikut yang ditetapkan dalam Perintah.
  12. Dokumen Hakmilik dikembalikan kepada waris setelah selesai pendaftaran.
  13. Sekiranya terdapat harta boleh alih seperti kenderaan, waris perlu mengemukakan Perintah kepada pihak yang berkuasa berkenaan untuk menukar nama pemilikan kepada waris yang ditetapkan dalam Perintah.
 *Langkah-langkah diatas adalah aturan proses yg mungkin berubah tanpa makluman. Untuk proses terkini, sila rujuk Pejabat Pesaka Kecil berkenaan.

Dalam kebanyakan kes ketiadaan masa untuk semua waris-waris hadir dihari perbicaraan adalah salah satu punca dimana harta-harta tidak dapat diselesaikan selain dari isu kegagalan mencapai persetujuan dalam pembahagian. Perancangan harta awal boleh mengelakkan pekara sebegini berlaku.

pusaka_kecil
Waris mencapai persetujuan adalah asas proses pembahagian