Ibu saudara saya sudah meninggal dunia dan arwah tidak meninggalkan wasiat bertulis bagi harta sepeninggalannya.
Ketika arwah hidup, dia pernah berkata bahawa semua hartanya diserahkan kepada saya dan kakak kerana arwah menjaga kami sejak kecil. Jadi, adakah wasiat lisan yang disebutnya itu perlu dilaksanakan? Adakah pembahagian hartanya perlu mengikut hukum faraid iaitu membahagikan kepada ibunya dan adik-beradiknya kerana dia tidak mempunyai suami dan anak?
SHIKIN
Kuala Pilah, Negeri Sembilan
Dakwaan mesti dibuktikan. Itu adalah falsafah dan kaedah usul fiqh. Jika saudari boleh membuktikan bahawa ibu saudara benar-benar menyatakan niatnya untuk memberikan hartanya, sama ada melalui akuan sumpah dan saksi, sehingga boleh dibuktikan memang ada si mati mempunyai niat sebegitu, maka ia boleh dianggap wasiat.
Seandainya tiada bukti dan saksi, sukar untuk warisnya menerima hakikat berkenaan kecuali jika mereka semua bersetuju harta itu diserahkan pada saudari. Peninggalan hartanya sudah menjadi pusaka dan sukar memastikan kedudukan sebenar sekiranya ia hanya bersandarkan ingatan kata-kata saja. Jika terbukti maka itu adalah wasiat.
Jika tidak, warisnya mempunyai hak sepenuhnya.
Sumber: Dipetik dari Harian Metro, Soal jawab agama Dr Mashitah
Oleh itu dalam kes-kes sebegini sekiranya tiada pesanan dibuat maka harta peninggalan akan diwarisi oleh ibubapa dan saudara-saudaranya. Selain dari meninggalkan wasiat, adalah lebih baik sekiranya dokumen hibah dilaksanakan semasa hayatnya.